You are using an outdated browser. Please upgrade your browser to improve your experience.

Berita Harian - Tropicana, PowerChina Bekerjasama Bina Projek Di Genting Highlands

2022-02-14 Berita Harian - Tropicana, PowerChina Bekerjasama Bina Projek Di Genting Highlands

Pemaju hartanah Tropicana Corporation Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Power-China International Group Ltd untuk membangunkan projek Tropicana Paradise di Genting Highlands.

Memorandum perjanjian persefahaman ditandatangani baru-baru ini oleh Tropicana Inspirasi Indah Sdn Bhd dan Tropicana Inspirasi Impian Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tropicana dengan PowerChina International Group Limited serta Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh PowerChina.

Ketua Pegawai Eksekutif Tropicana, Lee Han Ming, berkata perjanjian berkenaan menandakan permulaan tahun yang kukuh bagi syarikat seiring visi kumpulan yang terus mengorak langkah ke hadapan dengan membawa keunikan produk pembangunannya ke Genting Highlands.

Katanya, kerjasama dengan PowerChina menunjukkan komitmen padu dalam membangunkan masa depan lebih mampan serta pemilihan rakan kongsi yang kukuh oleh Tropicana.

"Paling utama, saya mahu menyampaikan penghargaan kepada PowerChina atas kepercayaan, keyakinan dan sokongan terhadap Tropicana.

"Kumpulan sudah bekerja keras selama beberapa bulan untuk merealisasikan perjanjian ini dan ia juga menunjukkan komitmen padu kami ke arah pembangunan perbandaran yang mampan.

"PowerChina syarikat tenaga global dan tersenarai dalam Fortune 500 dengan latar belakang yang kukuh dalam industri pembinaan dan kejuruteraan.

"Dengan kepakaran dan pembiayaan pembinaan, kami yakin PowerChina mampu membawa Tropicana Paradise ke peringkat lebih tinggi" katanya dalam satu kenyataan.

Tropicana WindCity adalah pembangunan perbandaran induk mega seluas 241.2 hektar yang merangkumi Tropicana Paradise dengan keluasan 124.6 hektar sebagai pemangkin utama.

Kemuncak kepada Tropicana Paradise adalah hab hiburan bersepadunya yang menawarkan pelbagai pilihan hiburan dengan ruang bersaiz 1.5 juta kaki persegi di samping sejuta kaki persegi pilihan runcit di tapak seluas 15.4 hektar. 

Bagi melengkapkan perbandaran ini dari aspek ruang kediaman dan pilihan penginapan, Tropicana Paradise didatangkan dengan konsep merangkumi apartmen servis moden dengan tumpuan kepada unit satu bilik tidur serta dua bilik tidur, unit kediaman mewah serta hotel berjenama antarabangsa dengan penarafan empat dan lima bintang.

Tropicana WindCity juga adalah projek perbandaran Tropicana yang pertama di Genting Highlands, lokasi pelancongan yang paling terkenal di Asia Tenggara.

Naib Presiden Eksekutif PowerChina, Zhou Jiayi, berkata pihaknya bangga dapat bekerjasama dengan Tropicana dan percaya pembangunan induk Tropicana WindCity menarik minat daripada pelabur tempatan dan luar negara.



You may also be interested in